MENU

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan soal selidik dalam talian berhubung penambahbaikan sistem pengurusan aduan anjing terbiar dan peliharaan di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kajian bermula 27 November hingga 20 Disember ini bagi mengumpul pandangan masyarakat berkaitan pemeliharaan anjing di kawasan bangunan berstrata, premis perindustrian dan tapak pembinaan.

“Soal selidik ini membantu MPK untuk mendapatkan keputusan terbaik daripada penduduk dalam mengatasi isu anjing terbiar dan peliharaan.

“Justeru, kita mengharapkan keprihatinan dan kerjasama seluruh warga Klang mengisi borang soal selidik ini sebelum tarikh tamat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau menambah dasar tersebut sudah diluluskan pada mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu sebelum ini namun kajian wajar dilaksanakan supaya perubahan sistem dapat diterima komuniti secara adil.

Difahamkan, dasar baharu itu antara lain menetapkan tiada sesiapa boleh mempunyai, memelihara, melindungi atau membenarkan dipelihara atau dilindungi seekor anjing di tingkat lebih tinggi termasuk tingkat bawah sesuatu bangunan strata.

Selain itu, tiada sesiapa boleh mempunyai, memelihara, melindungi atau membenarkan dipelihara atau dilindungi seekor anjing di mana-mana tapak pemajuan pembinaan.

Bilangan anjing yang boleh dipelihara di premis perindustrian berkeluasan kurang 1,000 meter per segi tidak melebihi dua ekor manakala empat ekor (lebih 1,000 meter per segi).

Setakat ini MPK menerima sebanyak 176 aduan gangguan anjing membabitkan enam kawasan di Klang Selatan dan Klang Utara.

Ia meliputi 62 aduan di Taman Sentosa, Pelabuhan Klang (27), Taman Sri Andalas (22), Bandar Bukit Raja (27), Rantau Panjang (21) dan Off Jalan Meru (17).

Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Ahad, 24 Januari 2021 - 7:01pm