MENU

 

ANTARA kedai warga asing yang diserbu MPK di sekitar Meru, Klang, Selangor semalam.

KLANG: Tindakan 10 premis warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar Meru di sini, mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa, semalam.

Selain pelbagai jenis kedai, premis itu antaranya dikesan menjual dan memproses ayam hidup secara tidak sah.

Kegiatan haram itu dihidu Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menjalankan operasi khas di sekitar kawasan Klang Utara bermula pukul 12 tengah hari.

Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, serbuan pertama  dijalankan ke atas enam premis pelbagai jenis perniagaan di Taman Dato’ Bandar, Jalan Salleh off Jalan Meru.

“Selain kedai runcit dan gunting rambut, premis itu antaranya menjual ayam hidup serta memprosesnya tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan mendapati semua perniagaan tanpa lesen itu dikendalikan oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudian menyerbu empat premis rumah kedai di Jalan Abadi 10D / KU8 Meru.

“Hasil siasatan mendapati premis dikendalikan warga asing itu menjalankan aktiviti menjual arak dan kedai makan,” katanya.

Jelas Ahmad Fadzli, pihaknya menyita kesemua barangan premis berkenaan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Sitaan itu dilakukan mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan UUK 3(1) Pelesenan Establisymen Makanan  MPK 2007,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak sesekali berkompromi dalam isu melibatkan peniaga warga asing di daerah ini.

“Kita akan sentiasa memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani kegiatan berkenaan.

“Selain itu, semua warga tempatan diingatkan tidak menyewakan premis atau lesen mereka kepada warga asing kerana ia kesalahan serius dalam penggunaan lesen perniagaan,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

Sumber :  Utusan Malaysia
Sila klik pautan di sini

 

Kemaskini Terakhir: Rabu, 22 September 2021 - 11:21am