MENU

 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama penerima vaksin ketika meninjau program Outreach Vaksinasi Covid-19 Taman Desawan, Klang di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia cawangan Selangor pada 18 Julai 2021.
Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

KLANG, 18 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menggunakan pendekatan baharu dengan memberi suntikan vaksin kepada penduduk taman perumahan yang mencatat kadar jangkitan tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu sinambungan kaedah pemberian vaksin kepada penghuni perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau menjelaskan kaedah yang pertama kali dibuat terhadap 1,600 penduduk Taman Desawan, Klang Jaya di sini hari ini juga akan diperluas ke perumahan lain.

“Ini merupakan pendekatan kedua (selain vaksin penduduk kawasan PKPD) dilakukan JKNS dan pejabat kesihatan daerah bagi melindungi rakyat negeri ini daripada jangkitan.

“Dua cara ini akan dilakukan mengikut kesesuaian sesuatu kawasan supaya proses suntikan senang diurus,” katanya ketika membuat tinjauan proses berkenaan di taman itu hari ini.

Amirudin juga menjelaskan Taman Desawan sepatutnya dikenakan PKPD berikutan kira-kira 100 kes positif dikesan dalam tempoh sebulan sebelum angka jangkitan kemudian menurun.

“Jadi kita buat keputusan untuk vaksin penduduk yang negatif selepas saringan selesai.

“Pada awalnya, kita anggar kira-kira 2,000 penduduk, namun ada yang telah dapat janji temu di MySejahtera. Jadi kita hanya suntik individu yang belum terima tarikh giliran vaksin,” katanya.

Sebelum ini, JKNS melaksanakan proses suntikan kepada penghuni Mentari Court, Petaling Jaya, kawasan PKPD pertama berbuat demikian.

Sumber : Selangorkini
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 22 Julai 2021 - 11:10am