MENU

 

ANTARA pengamal media yang terjejas akibat banjir menerima pelbagai sumbangan termasuk tilam, dapur gas, peralatan pembersihan.
FOTO Ihsan MPK

Klang: Dalam kesibukan membuat liputan berita kejadian banjir melanda negeri ini, beberapa pengamal media turut tidak terkecuali diuji dengan bencana itu.

Bukan sahaja banjir mencecah siling rumah, malah ada yang sukar untuk kembali bekerja apabila kelengkapan kerja seperti kamera dan komputer rosak akibat ditenggelami air.

Rata-rata mereka yang tinggal di Shah Alam, Klang serta Kuala Langat, mengakui banjir pada Disember tahun lalu adalah pertama kali dialami mereka.

Jurugambar TV Selangor, Hanafi Mohamed, 53 tahun berkata, dia sekeluarga dikejutkan dengan bencana itu buat kali pertama sepanjang 21 tahun tinggal di Taman Sijangkang Permai, Kuala Langat.

"Kami sekeluarga bermalam di sebuah sekolah berhampiran bersama 14 keluarga mangsa lain selama empat hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Tapi sehingga sekarang kami masih berjaga-jaga, bila hujan.. kami mula risau. Barang rumah pun kami letak dalam kotak plastik sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Hanafi antara 10 pengamal media yang terkesan akibat banjir ditemui pada majlis ringkas bantuan banjir kepada pengamal media anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama GM Klang, di sini, tadi.

Selain TV Selangor, rakan media dari New Straits Times, Bernama, Sinar Harian serta RTM turut menerima sumbangan disampaikan oleh Pengerusi ANULAE Cawangan MPK, Azhar Samsudin dan Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok.

Sementara itu Azhar berkata, inisiatif yang dilakukan sebagai usaha menghargai peranan media yang tanpa jemu melaporkan berita walau dalam apa juga situasi.

"Ini salah satu cara timbal balas selain mengekalkan hubungan media dengan MPK agar kerjasama dua hala terus berpanjangan.

"Dari segi barangan sumbangan, MPK serta ANULAE berkolaborasi dengan GM Klang dengan menyumbangkan keperluan harian, kelengkapan tidur, peralatan pembersihan juga makanan," katanya.

Sumber : Harian Metro
Sila klik pautan di sini

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am