MENU

 


 

Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan supaya separuh daripada ahli majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri daripada kalangan profesional.

Baginda berpandangan, bukan sahaja ahli politik, golongan profesional yang pakar dalam bidang pembangunan sesebuah bandar juga diperlukan.

"Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.

"Di samping itu, ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang supaya semua kaum dapat diwakili mengikut jumlah yang berpadanan," titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini, hari ini.

Turut hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda juga mengingatkan kepada ahli majlis, Datuk Bandar dan kakitangan MBDK supaya sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

"Jauhi dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu.

"Tuan-tuan semua kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

"Amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak," titah baginda.

Sumber : Harian Metro
Sila klik pautan di sini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am