MENU

 


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pejabat SUK Selangor di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

SHAH ALAM, 7 FEB: Sekurang-kurangnya 15 nama yang akan dicadangkan bagi mengisi jawatan ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempunyai kelayakan pendidikan minimum diploma atau lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya mengambil perhatian titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menyarankan ahli majlis pihak berkuasa tempatan itu turut dianggotai golongan profesional, bukan ahli politik semata.

“Profesional ini bermakna mereka ada ijazah atau sekurang-kurangnya diploma dan terlibat dalam bidang tertentu sama ada pengurusan, kejuruteraan, perniagaan, pentadbiran atau saintis dan sebagainya.

“Kita akan bentangkan (senarai). Daripada senarai yang ada sekarang sebenarnya hampir 15 ke 16 orang berkelayakan diploma dan ke atas dan ada yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD).

“Jadi kita positif. Mungkin Klang (MBDK) mulakan contoh dengan letakkan mereka yang mempunyai kelayakan profesional tertentu sama ada dalam peringkat pensijilan profesional hinggalah PhD,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini dalam titahnya sempena istiadat pengisytiharan MBDK menyarankan ahli majlis pihak berkuasa tempatan itu turut dianggotai golongan profesional.

Baginda bertitah sekurang-kurangnya 50 peratus kuota keseluruhan ahli majlis turut diisi golongan profesional pelbagai bidang, tidak hanya dipelopori ahli politik semata.

Titah Baginda lagi ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Klang agar semua kaum diwakili dengan jumlah berpadanan.

Pada 2 Februari 15 individu mengangkat sumpah ahli majlis pihak berkuasa tempatan Klang yang didahului Orang Besar Daerah Klang yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohammed Khusrin.

Terdahulu Amirudin mengetuai barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Ia sebagai iltizam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.

 

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am