MENU

 


Penduduk meredah banjir susulan hujan berterusan di Kampung Dengkil ketika banjir melanda hujung tahun lalu. - FOTO BERNAMA

SHAH ALAM: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya bencana susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Tiga PBT itu membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), yang masing-masing teruk terjejas ketika banjir baru-baru ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, selain pemantauan 24 jam sehari oleh Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) MBSA terutama ketika hujan, peringatan dari semasa ke semasa juga dikeluarkan kepada penduduk melalui saluran rasmi PBT itu di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

"Kita sentiasa berhubung dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN), malah sentiasa berwaspada terhadap sebarang makluman dan menyelaraskannya bersama jabatan lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Selain Taman Sri Muda, antara lokasi yang menjadi fokus MBSA adalah Seksyen 13, Taman Mesra serta Sungai Buloh terutamanya Paya Jaras," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengakui Kuala Langat antara kawasan terjejas teruk akibat banjir pada Disember tahun lalu terutamanya di kawasan Bukit Changgang.

Katanya, Skuad PANTAS MPKL sentiasa cakna dengan cuaca tidak menentu sekarang terutamanya situasi banjir kilat.

"Susulan pasca banjir lalu, kita memperkemas dan meningkatkan kekuatan pasukan dengan tambahan aset seperti bot penyelamat.

"Pemantauan berkala dilaksanakan dengan penyelarasan bersama pasukan bencana daerah yang dipengerusikan pegawai daerah, juga JPS malah MPKL sentiasa berwaspada dengan perkongsian maklumat bersama pihak berkaitan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Kawasan rekreasi seperti Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pantai Chunang, Pantai Batu Laut, Jeti Tanjung Sepat sentiasa dipantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, MPK turut melaksanakan kesiapsiagaan sama sebagaimana MBSA dan MPKL dengan meningkatkan pemantauan ke semua lokasi punca air di kawasan kritikal.

Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, ia bagi memastikan saluran air tidak terhalang dan dapat menggerakkan air larian permukaan dengan cekap semasa hujan lebat

"MPK akan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjalankan pemantauan banjir dalam talian sepanjang masa, manakala Unit Respons PANTAS akan bersiap sedia semasa hujan bagi memantau banjir dan memberi bantuan semasa banjir kilat terutamanya kawasan rendah terdedah kepada banjir kilat.

"Kami faham banjir kilat berlaku apabila hujan dalam masa singkat dan lebat tidak dapat dibawa dengan cepat oleh sistem perparitan, atau melalui tanah.

"Jadi, kita perlu menguruskan banjir dengan lebih baik termasuk memeriksa kapasiti kolam tadahan," katanya.

Sumber : Berita Harian
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am