MENU


Pengguna jalan raya terpaksa meredah banjir untuk ke Klang berikutan hujan lebat semalaman ketika tinjauan di Jalan Sungai Kandis, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat di kawasan itu sekiranya hujan lebat berterusan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA memaklumkan pihaknya membuka operasi bilik Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sepanjang masa dengan orang ramai boleh menghubungi talian 03-55105811.

Shahrin Ahmad berkata Skuad Pantas sentiasa memantau kawasan titik panas berlaku bencana selain mengenal pasti dewan yang akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas.

“Kita akan bersama agensi lain seperti pejabat tanah dan daerah (PTD), polis, bomba serta Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya berlaku banjir termasuk pemindahan mangsa banjir,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pengarah komunikasi korporat MPK berkata seramai 146 kakitangan terdiri daripada penguat kuasa dan Skuad Pantas sedia digerakkan menghadapi kemungkinan bencana.

Norfiza Mahfiz turut memaklumkan anggota terlibat menjalani latihan pengendalian bot dan menyelamat di air pada 8 Disember lalu.

“Latihan yang dilakukan antaranya tahap keyakinan dalam air, balingan tali menyelamat, pemanduan dan parkir bot serta menyelamat mangsa,” katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor membabitkan Petaling, Klang dan Sepang.

Kawasan di Petaling yang dijangka berdepan keadaan itu dalam tempoh 24 jam ialah pekan Batu Tiga, bandar Shah Alam dan kawasan sekitar.

Manakala di Klang membabitkan pekan Pandamaran, pekan Kapar, Mukim Klang dan kawasan sekitar.

Di Sepang pula kawasan itu ialah mukim Sepang, mukim Dengkil dan kawasan sekitar.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am