MENU

 alt="Klang antara Bandar Diraja dipelihara menerusi panduan pembangunan"Pemandangan bandar Klang (gambar hiasan). Foto Facebook Klang Bandar DiRaja

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja diperkenalkan hari ini untuk memelihara identiti bandar Diraja sebagai lambang kedaulatan negara, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata GPP itu terpakai untuk sembilan bandar Diraja di Semanjung Malaysia dan telah dibentang serta diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mei lepas sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi dan pelancongan.

Bandar Diraja terlibat adalah Bandar Diraja Arau, Perlis; Bandar Diraja Anak Bukit, Kedah; Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak; Bandar Diraja Klang, Selangor dan Bandar Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan.

GPP itu turut terpakai di Bandar Maharani Bandar Diraja Muar, Johor; Bandar D’Raja Al-Muhammadi Kubang Kerian, Kelantan; Bandar Diraja Kuala Terengganu, Terengganu; dan Bandar Diraja Pekan, Pahang.

“Bandar berkenaan menyimpan budaya dan peradaban kesultanan Raja-Raja Melayu yang merupakan aset warisan bangsa yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Pemakaian GPP ini dapat memastikan nilai warisan bangsa dipelihara dengan menjadikan bandar ini sebagai warisan sejarah serta simbol kedaulatan negara,” katanya dalam sidang media mengenai GPP Bandar Diraja di sini hari ini.


alt="Klang antara Bandar Diraja dipelihara menerusi panduan pembangunan"


Masjid Bandar Diraja Klang dengan pemandangan Sungai Klang. Foto Facebook Muhammad Riduan Chik


GPP itu turut menggariskan kawalan intensiti pembangunan di kawasan bandar Diraja, penyediaan komponen utama dan unsur sokongan seperti galeri, muzium, dataran dan arca Diraja, selain aspek seni bina bangunan dan landskap bagi meningkatkan lagi potensi, imej serta identiti bandar itu.

“Sekiranya bandar Diraja ini ditonjolkan identiti, keistimewaan serta keindahan warisan Diraja, ia boleh juga dijenamakan sebagai satu lagi tarikan pelancongan terkini untuk pelancong asing,” kata Nga.

Beliau berkata garis panduan itu akan dibentangkan pada mesyuarat menteri besar dan ketua menteri pada 11 Julai ini dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 pada 12 Julai untuk pemakluman mengenai usaha dilakukan bagi memartabatkan institusi raja di negara ini.

Menurut Nga beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada minggu ini serta memaklumkan mengenai garis panduan itu.

“Dengan perancangan rapi, saya jangka sembilan bandar Diraja boleh pakai (garis panduan itu) dan ia dipromosikan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya,” katanya.

Ditanya sama ada projek pembangunan di bandar Diraja dihadkan melalui pengenalan garis panduan berkenaan, Nga berkata ia tidak dihadkan tetapi ada kawalan tertentu dilaksanakan kerana setiap pembangunan perlu mencerminkan keistimewaan dan keindahan institusi warisan negara.

“Bentuk pembangunan setiap negeri ada identiti dan ciri keistimewaan sendiri, apabila mereka (pemaju) ingin hantar permohonan Kebenaran Merancang, kita akan berikan identiti terkini (bandar Diraja) seperti landskap iaitu pokok spesies Diraja,” katanya.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am