MENU


Pegawai Majlis Perbandaran Klang (MPK) memeriksa dokumen ketika operasi dijalankan terhadap premis makanan di sekitar Klang. Foto MPK

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengemukakan tujuh langkah kepada pemilik premis makanan bagi mengawal dan mencegah tikus.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Norfiza Mahfiz berkata dua daripadanya ialah menyediakan tong sampah berpenutup dilengkapi beg plastik dan memastikannya sentiasa ditutup.

“Mereka juga dicadang menyediakan jadual pembersihan atau pencucian premis dan tidak membuang sampah atau sisa makanan secara terus ke longkang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, cadangan lain ialah memastikan stor barangan mentah sentiasa bersih dan teratur, melantik syarikat kawalan serangga perosak bertauliah membuat semburan satu atau tiga bulan sekali dan memastikan pembersihan dilakukan sebaik sahaja waktu perniagaan tamat.

Norfiza berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 45 premis makanan diarah tutup selama 14 hari kerana tidak disanitasi.

“Kesemua premis tersebut ditutup di bawah Seksyen 62(1)(b) Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Establishmen Makanan (MPK) 2007.

“MPK juga menyerahkan Notis Tindakan Pembetulan atau Arahan Pembetulan kepada pemilik premis bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Tambah Norfiza, dalam tempoh yang sama, sebanyak 442 tindakan kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan atas pelbagai kesalahan di bawah UUK Pelesenan Establisymen Makanan(MPK)2007 dan juga UUK Pengendali Makanan (MPK) 2007.

Ujarnya, kesalahan tersebut ialah tidak memasang perangkap minyak, premis kotor, pekerja tidak memakai topi atau apron, tiada kawalan serangga perosak dan pekerja tiada suntikan typhoid.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am