MENU

 

Noraini bergambar bersama penerima Anugerah Mesra Media MPK 2022 di GSC Klang Parade, Klang pada 25 November 2022. Foto MPK

KLANG: Seramai 20 wakil agensi media diraikan dalam Majlis Malam Mesra Media Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2022 di GSC Klang Parade baru-baru ini.

Majlis tersebut turut memberikan pengiktirafan atas sumbangan pihak media dalam membantu mempromosikan aktiviti MPK serta bandar Klang sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua MPK TPr Noraini Roslan berkata pihaknya berharap hubungan baik antara MPK dan ‘keluarga’ pengamal media dapat kekal berpanjangan dalam mengisi peranan masing-masing bagi membentuk persekitaran perbandaran yang lebih bermakna.

“Tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan negara.

“Melalui penulisan, mereka dapat mengubah pemikiran masyarakat malah kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan ternyata banyak membantu khususnya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tugasan mereka.

“Saya menghormati dan kagum dengan pihak media yang sentiasa menjunjung tinggi etika kewartawanan iaitu seimbang dalam pemberitaan di mana media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan MPK dengan masyarakat menerusi liputan dan kupasan berkaitan isu-isu yang relevan dan konsisten sepanjang tahun,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.


Noraini bergambar bersama wakil agensi media sebelum menonton tayangan filem Black Panther: Wakanda Forever sempena majlis Malam Mesra Media MPK 2022 di GSC Klang Parade pada 25 November 2022.


Majlis itu berlangsung penuh meriah dengan acara kuiz, cabutan nombor bertuah sebelum diakhiri dengan tayangan filem Black Panther: Wakanda Forever.

Terdahulu Noraini menyampaikan anugerah kepada pengamal media melibatkan pelbagai kategori iaitu Anugerah Isu Semasa (Anuar Alias-Media Prima), Anugerah Media Informatif (Azhear Abb Rani-Media Prima) dan Anugerah Media Liputan Positif (Norzamira Che Noh-Harian Metro).

Sementara itu, Anugerah Media Komuniti dimenangi Nahar Sulaiman dari Media Selangor, Anugerah Media Sosial Klang (Norhayati Umor- Media Selangor) dan Anugerah Khas Foto (Raheemie Arifin – Media Selangor).

Anugerah Media Warisan Klang (Wani Muthiah – The Star), Anugerah Media Berita Prihatin (Ko Chee How – China Press), Anugerah Media Kebudayaan Klang (Zana Zainal Abidin – RTM) dan Anugerah Klang Di Hati (Tan Pei Sze – Sin Chew Daily).

Majlis tersebut turut mendapat tajaan GM Klang, Kawan Food, Kumpulan Karangkraf dan Orang Kaya Maha Bijaya Klang Datuk Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Sumber : Sumber Kini
Sila klik pautan di sini

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am