MENU

 

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas) kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku air pasang besar di Selangor.

Pengerusinya, Hamsah Djabir berkata, pihaknya melaksanakan persiapan awal bagi memastikan segalanya berjalan lancar termasuk pasukan penyelamat yang mencukupi untuk digerakkan.

“Pantas bersiap sedia untuk menggerakkan anggota bagi sebarang kemungkinan.

“Kita akan melihat situasi semasa dan memastikan maklumat sebenar (kejadian berlaku) termasuk penyelarasan bagi memudahkan pergerakan serta bantuan di kawasan kritikal,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Pantas akan melihat keperluan menghulurkan bantuan dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam perkara itu.

“Kita juga berharap agar Unit Pengurusan Bencana Negeri sentiasa melaporkan keadaan serta kawasan terbabit bencana dari semasa ke semasa,” katanya.

Air pasang besar pertama diramalkan berlaku bermula hari ini sehingga Jumaat ini di lima daerah berisiko tinggi iaitu Klang, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.

Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan arahan persediaan bagi menghadapi bencana peringkat tinggi susulan jangkaan fenomena bencana itu yang turut diramal sehingga Disember depan.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am