MENU

alt="Tiga lagi PBT guna aplikasi TNG"

Kuala Lumpur: Pengguna Touch 'n Go (TNG) eWallet kini boleh membuat pembayaran tempat letak kenderaan lebih mudah dengan penambahan kawasan di bawah kendalian tiga pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tiga PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Seremban-Nilai dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, TNG eWallet adalah e-dompet pertama di Malaysia menawarkan liputan lengkap untuk tempat letak kenderaan di bawah kendalian 19 PBT sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perak dan Putrajaya.

"Dengan lebih 300,000 pengguna aplikasi ini untuk membayar caj letak kenderaan setiap hari, peluasan operasi memudahkan pengguna membuat pembayaran.

"Pengguna tidak lagi perlu mengelak pembayaran letak kenderaan dan mencari mesin pembayaran parkir," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengguna hanya perlu mencari ikon Services pada skrin utama TNG eWallet dan pilih Pay For Parking Now dengan memasukkan lokasi dan maklumat kenderaan, sebelum membuat pembayaran.

Pihaknya juga menjalankan kempen promosi dari 3 Julai 2023 hingga 4 Ogos 2023 untuk menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan pembayaran tempat letak kenderaan pada aplikasi TNG eWallet.

Melalui promosi ini, pengguna yang membuat pembayaran tempat letak kereta dengan perbelanjaan minimum 40 sen layak mendapat pulangan tunai 50 sen.

Promosi pulangan tunai adalah sah untuk 250,000 transaksi pertama yang layak dan dihentikan sama ada apabila promosi digunakan sepenuhnya atau apabila kempen tamat.

Selain itu, pengguna yang membuat sekurang-sekurangnya lima pembayaran dalam tempoh promosi, dengan perbelanjaan minima 40 sen berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Playstation 5, telefon Realme atau PIN tambah nilai RM100.

Sumber : Harian Metro
Sila klik pautan di sini 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am